Sasar mobiliti sosial bukan pemilikan rumah, gesa persatuan

Sasar mobiliti sosial bukan pemilikan rumah, gesa persatuan

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) berkata hartanah ketika ini tidak mampu dimiliki berdasarkan pendapatan dan tangga gaji kebanyakan rakyat.

Setiausaha Agung HBA Chang Kim Loong percaya orang muda perlu diberi ‘kebebasan’ memutuskan sama ada mahu menjadi pemilik rumah.
PETALING JAYA:
Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan mempromosi mobiliti sosial, berbanding menyasarkan pemilikan rumah 100%, kata Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA).

“(Ini penting) bagi orang muda mempunyai kebebasan mengembangkan potensi kewangan dan membeli kediaman apabila mereka berkemampuan, dan hanya apabila mereka perlu untuk itu,” kata Setiausaha Agung HBA Chang Kim Loong kepada FMT.

Chang berkata, berbanding sebelum ini, ramai masyarakat tidak lagi melihat pemilikan rumah sebagai tanda aras kejayaan.

Pada Ahad, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, berkata kerajaan menyasarkan pemilikan 100% rumah bagi rakyat Malaysia. Ketika ini, 76.9% rakyat sudah memiliki rumah, katanya.

Chang berkata, sebahagian besarnya, hartanah tidak mampu dimiliki ramai rakyat mengambil kira pendapatan semasa dan tangga gaji.

“Membeli dan memiliki rumah mengundang risiko kepada isi rumah berbanding menyewa. Pembeli menanggung hutang besar, menandatangani perjanjian pinjaman bertahun lamanya, dan bertanggungjawab ke atas kos pemilikan rumah.

“Selain itu, sukar mendapat pinjaman ketika ini dengan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat,” katanya.

“Adakah munasabah membeli rumah ketika ini?” soalnya.

Pada 3 Mei, Bank Negara Malaysia meneruskan dasar mengetatkan monetari kepada 25 mata asas, menjadikan OPR kepada 3% susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.

Ahli ekonomi, Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran, berkata kerajaan sepatutnya membentuk peraturan mempromosi mobiliti sosial.

“Kita perlu merumus inisiatif menggerakkan rakyat keluar daripada kemiskinan jadi mereka boleh memilih untuk membeli kediaman, sekiranya mahu,” katanya kepada FMT.

Katanya, sasaran Nga gagal melihat timbal balas antara pemilikan rumah dan hutang isi rumah.

“Di Malaysia, (hutang isi rumah) berada pada hampir 90% KDNK, antara tertinggi di dunia, justeru ia menjadi isu lebih menekan berbanding memiliki rumah,” katanya.

Menurut kajian dilaksanakan CEIC Data, hutang isi rumah negara berada pada 81% nominal KDNK pada Dis 2022, berbanding 88.9% tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, pengarah konsultan hartanah Rahim & Co’s Petaling Jaya, Choy Yue Kwong, memberi amaran sasaran pemilikan 100% rumah dilihat mustahil dicapai.

“Ramai orang memiliki beberapa kediaman, manakala ramai pula yang tidak mampu membeli. Jadi, 100% pemilikan rumah mungkin pada teorinya sahaja jika pendapatan diagih dengan lebih sekata,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.