
Bercakap kepada FMT, Saari berkata hasratnya itu disampaikan kepada kepimpinan Amanah dan Pakatan Harapan.
“Saya mengemukakan kepada parti untuk tidak bertanding kali ini. Saya ada penyakit Parkinson yang agak berat,” katanya.
Saari yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak dua kali berkata keadaan kesihatannya ketika ini mungkin berkait dengan kesengsaraan ketika ditahan di Kem Kamunting, 20 tahun lalu.
Beliau ditahan pada 12 Okt 1998 selama 15 hari dan kemudian kali kedua pada 2001 hingga 2 Jun 2003 selama 2 tahun 2 bulan.
Akta yang membenarkan tahanan tanpa bicara itu dimansuhkan pada 2012 dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).
Terdahulu, sumber parti memberitahu FMT bahawa Setiausaha Agung Amanah Hatta Ramli akan menggantikan Saari dalam usaha PH mempertahankan kerusi itu pada PRN akan datang.
Saari yang juga timbalan ketua Amanah Selangor, menang DUN Hulu Kelang menerusi PAS pada 2008, namun keluar parti dan bersama beberapa pemimpin lain membentuk Amanah pada 2015.
Ditanya mengenai dakwaan sumber itu, Saari enggan mengulas namun ingin akan membantu jentera parti memenangkan mana-mana calon yang diletakkan.
“Harapan saya agar penduduk Hulu Kelang terus mendapat khidmat wakil rakyat dan kerajaan yang bersih dan sentiasa berpaksikan reformasi,” katanya yang juga ketua Amanah Gombak.