
Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan keputusan mesyuarat Majlis Penyelarasan Antarabangsa ‘Man and the Biosphere’ (ICC-MAB) ke-35 (ICC MAB35) mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini juga sebagai ‘sangat bermakna kepada kerajaan negeri’.
“ICC MAB35 membuat keputusan ini berdasarkan syor Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai Rizab Biosfera (IACBR) dengan mengambil kira usaha yang telah diambil kerajaan negeri bagi menambah baik pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya menurut Bernama.
Antara usaha itu, menurut Rosdy ialah mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan.
Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan keputusan ICC MAB35 yang berlangsung di Paris, Perancis mengekalkan status Tasik Chini selepas semakan berkala kawasan tapak itu menepati kriteria Kerangka Statutori Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) selain mengambil kira syor IACBR.
Tasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pada 2009 dan di Malaysia terdapat dua lagi tapak rizab biosfera iaitu Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang masing-masing mendapat pengiktirafan pada 2014 dan 2021.