
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan mekanisme itu diakui rumit namun ia perlu dilakukan agar golongan kaya tidak terus menerima subsidi terbanyak.
“Ada pasukan sedang berusaha ke arah itu. Ketika ini sudah ada beberapa kertas cadangan tetapi kita masih perhalusi,” katanya selepas melawat Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
“Kalau siap esok (kita nak laksanakan) tetapi kita sedang berusaha ke arah itu, namun saya tidak mahu meletakkan tempoh masa tetapi yang pasti secepat mungkin.”
Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan menghapuskan pengkelasan B40, M40, dan T20 secara berperingkat mulai tahun depan.
Ia menyusul selepas kenyataan Anwar pada Isnin yang dilaporkan berkata kira-kira 40% golongan T20 iaitu mereka yang berpendapatan minimum RM10,971 menikmati subsidi kerajaan.
Mei lalu, kerajaan mengumumkan golongan T20 tidak lagi menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik serta haji.
Anwar yang juga menteri kewangan sebelum ini berkata pangkalan data utama (PADU) akan digunakan untuk mengurus dan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan layak.