Tindakan Interpol buat saya makin terkenal, kata Jocelyn Chia

Tindakan Interpol buat saya makin terkenal, kata Jocelyn Chia

Pelawak AS yang mencetuskan kontroversi kerana berjenaka mengenai MH370 memberi reaksi mengenai usaha Malaysia meminta bantuan Interpol untuk mengesannya.

Jocelyn Chia yang menganggap tindakan pihak berkuasa Malaysia meminta bantuan Interpol sebagai “berlebih-lebih” dan “mengarut”.
PETALING JAYA:
Seorang pelawak Amerika Syarikat (AS) yang mencetuskan kontroversi selepas berjenaka mengenai nahas MH370, pesawat Malaysia Airlines yang hilang pada 2014 memperlekehkan tindakan meminta Interpol mengesan beliau.

Jocelyn Chia juga menganggap tindakan pihak berkuasa Malaysia sebagai “berlebih-lebih” dan “mengarut”, lapor BBC.

Chia berkata dia berharap dapat melihat wajah pegawai Interpol yang menerima permintaan tersebut.

“Jujurnya, sekiranya Interpol berbuat sesuatu dengan permintaan ini dan keadaan berlarutan, boleh bayangkan betapa terkenalnya saya,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani semalam berkata, satu permohonan dihantar kepada Interpol untuk mendapatkan maklumat dan identiti Chia serta lokasi terkini.

Dalam klip video yang tular di media sosial memaparkan pelawak itu memperlekeh Malaysia dalam persembahan komediri bertajuk “Singapore vs Malaysia” yang diadakan di New York, baru-baru ini.

Pelawak itu antaranya mengeluarkan kenyataan termasuk jenaka keterlaluan menyentuh kehilangan MH370 yang dikatakan “tidak mendarat”.

Menteri Luar Zambry Abdul Kadir meluahkan rasa kesal, dan mengecam tindakan wanita itu, dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra pada 7 Jun.

Katanya, tindakan itu langsung tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa tragedi.

Sebagai respons, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Beliau turut memaklumkan wanita itu tidak lagi memegang kerakyatan Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.