Potensi MM2H bukan setakat jana hasil, kerajaan diberitahu

Potensi MM2H bukan setakat jana hasil, kerajaan diberitahu

Sekatan lebih ketat mungkin membawa lebih banyak hasil dalam jangka pendek, tetapi seorang ahli ekonomi berkata, kesan limpahan positifnya akan berkurangan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan telah memperoleh keuntungan ‘hampir RM1 bilion’ daripada program MM2H sepanjang setahun lepas.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa agar mempertimbangkan semula program Malaysia Rumah Keduaku sebagai lebih daripada sekadar satu cara untuk meningkatkan hasil kerajaan dengan hanya menarik penduduk warga asing yang kaya.

Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berkata, program itu boleh membantu melegakan masalah rumah tidak terjual sekiranya syarat MM2H semasa dilonggarkan, melayakkan lebih ramai warga asing untuk menyertainya.

Ahli ekonomi Carmelo Ferlito berkata, sekatan lebih ketat akan menyebabkan permohonan berkurangan, seterusnya akan membawa kepada lebih sedikit kesan limpahan positif ke atas ekonomi.

Donal Crotty daripada Dewan Perniagaan Ireland berkata, syarat lebih ketat bagi program MM2H dan perubahan dasar kerajaan telah merosakkan kredibiliti Malaysia dalam kalangan ekspatriat.

Mereka berkata demikian susulan kenyataan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bahawa syarat lebih ketat untuk program itu menarik lebih ramai “pemohon berkualiti”.

Syarat MM2H baharu yang diperkenalkan pada 2021 mengenakan syarat kelayakan kewangan lebih tiga kali ganda lebih tinggi.

Pemohon dikehendaki memiliki simpanan kekal sekurang-kurangnya RM1 juta (naik daripada RM300,000) dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta (RM500,000 sebelum ini) dan pendapatan luar pesisir bulanan RM40,000 (naik daripada RM10,000).

Saifuddin berkata, kerajaan telah memperoleh keuntungan “hampir RM1 bilion” sepanjang setahun lepas.

Bagaimanapun, angka itu dipertikaikan oleh Presiden Persatuan Perunding MM2H Anthony Liew.

Beliau berkata, angka dikeluarkan oleh menteri itu tidak memberikan gambaran penuh kerana bukan semua pemohon akan mendepositkan RM1 juta.

“Mereka mempertimbangkan mengikut kes, tetapi deposit RM1 juta itu hanya untuk satu keluarga,” katanya sambil menambah, tambahan RM50,000 diperlukan bagi setiap tanggungan.

Ini bermakna bagi tiga sekeluarga, sejumlah RM1.1 juta dalam simpanan kekal diperlukan, tetapi tiga permohonan berasingan mesti difailkan, kata Liew.

“Tak tahu dari mana (Saifuddin) dapat angka RM1 bilion itu,” katanya kepada FMT.

Puah berkata, syarat kelayakan bagi program MM2H yang dikenakan buat masa ini terlalu tinggi dan perlu disemak semula kepada angka antara jumlah semasa RM1 juta dan RM300,000 sebelum ini.

Membenarkan lebih ramai warga asing layak boleh membantu menangani masalah sejumlah tinggi rumah tidak terjual. Puah berkata, lebih 20,000 rumah masih belum terjual di Johor.

“Semestinya, pasaran domestik tidak dapat menangani jumlah ini, jadi kita perlu pembeli asing masuk menyegarkan (pasaran),” katanya kepada FMT.

Ferlito, yang juga ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran berkata, tumpuan pada hasil kerajaan semata-mata mungkin tidak sejajar dengan kepentingan negara.

Katanya, syarat kelayakan lebih tinggi bermakna “lebih sedikit orang berbelanja di negara ini, yang membawa kepada lebih kurang peluang pekerjaan serta hasil bagi perniagaan”.

Akibatnya, kerajaan akan kehilangan hasil yang berpotensi diperoleh melalui pencukaian tidak langsung, tambahnya.

Beliau menyifatkan syarat-syarat itu sebagai “fokus yang berlebihan kepada hasil kerajaan” yang telah mengubah MM2H daripada satu program penempatan semula untuk persaraan kepada program yang menyasarkan golongan kaya.

“Jika satu-satunya tujuan skim itu adalah untuk mengutip wang, maka ia harus digabungkan dengan PVIP (program visa premium) dan tidak diletakkan sebagai MM2H,” katanya.

Program PVIP bertujuan menarik pelabur kaya ke Malaysia, seperti inisiatif “Golden Visa” di Singapura dan Thailand.

Beliau menggesa kerajaan, khususnya Saifuddin, agar mendapatkan pandangan ekspatriat, dewan perniagaan dan pihak berkepentingan lain.

Dengan mengambil langkah-langkah ini, negara berupaya membalikkan kesan semakan MM2H, yang “membawa impak besar terhadap daya tarikan Malaysia sebagai tempat untuk menetap dan melabur”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.