Pindaan perlembagaan selesai isu tanah Orang Asli, kata timbalan speaker

Pindaan perlembagaan selesai isu tanah Orang Asli, kata timbalan speaker

Ramli Nor merupakan Ahli Parlimen Orang Asli pertama negara berkata isu tanah Orang Asli sukar kerana mereka memerlukan bantuan kerajaan negeri.

Timbalan Speaker Ramli Nor berkata sekarang adalah masa sesuai untuk meminda undang-undang berkaitan kerana kerajaan perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menyelesaikan isu tanah yang melibatkan Orang Asli.

Ramli, merupakan Ahli Parlimen Orang Asli pertama di negara ini, berkata pada masa ini undang-undang berkaitan Orang Asli dan undang-undang mengawal hal ehwal tanah diletakkan di bawah bidang kuasa berasingan.

Kebajikan Orang Asli berada di bawah Senarai Pertama iaitu undang-undang yang menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan.

Perkara berkaitan tanah adalah sebahagian daripada Senarai Kedua di mana undang-undang ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Cameron Highlands itu kesal dengan situasi semasa walaupun Putrajaya boleh mendesak supaya sebidang tanah diwartakan secara eksklusif untuk Orang Asli namun kerajaan negeri akan memberi kata putus.

“Negeri-negeri boleh menarik balik (pewartaan) ini pada bila-bila masa,” katanya di Dewan Rakyat.

Ramli membuat ulasan itu selepas Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah Wang berkata kementeriannya bersedia untuk membentangkan pindaan Akta Orang Asli 1954 untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat itu.

Rubiah menjawab perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Ramli berkata, adalah lebih baik kerajaan meminda perlembagaan untuk meletakkan kebajikan Orang Asli dan isu tanah berkaitan di bawah Senarai Bersama.

Perkara itu akan menjadi tanggungjawab bersama kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri, tambahnya.

Ramli berkata, sekarang adalah masa sesuai untuk meminda undang-undang berkaitan kerana kerajaan perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Dengan sesi Parlimen sebelumnya, kerajaan tidak mempunyai kestabilan politik seperti itu, tetapi sekarang kita mempunyai 148 (Ahli Parlimen), iaitu dua pertiga.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.