Masih bincang, kata timbalan menteri berkait diskaun peniaga Menu Rahmah

Masih bincang, kata timbalan menteri berkait diskaun peniaga Menu Rahmah

Fuziah Salleh berkata perkara itu masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada April lalu mengumumkan kadar diskaun bahan mentah untuk peniaga Menu Rahmah bagi memastikan kelestarian inisiatif itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemberian diskaun bahan mentah untuk peniaga Menu Rahmah yang diumumkan Perdana Menteri Ibrahim pada April lalu belum dilaksanakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata ini kerana perkara itu masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Masih dalam perbincangan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, setakat ini beberapa pengusaha terbabit dalam program itu terdiri restoran rangkaian makanan segera yang menyertainya atas tanggungjawab sosial korporat.

“Selain itu rangkaian restoran tomyam dan mamak (India Muslim) yang juga berkonsepkan kongsi rezeki. Selebihnya (pengusaha kedai makan sedia Menu Rahmah) kita sedang cari mekanisme insentif,” katanya.

Anwar pada April lalu berkata, kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih bersetuju menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, dan barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas.

Katanya, kerajaan cakna dengan sumbangan pengusaha Menu Rahmah dan prihatin dengan kos pengeluaran yang meningkat serta mahu memastikan kelestarian inisiatif itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, pula berkata pelaksanaan diskaun khas itu dijangka bermula Mei.

Inisiatif Menu Rahmah yang dilancarkan pada 31 Jan, bertujuan menjual makanan mampu milik terutama bagi golongan B40.

Bagaimanapun, sebilangan peniaga yang menawarkan Menu Rahmah mengeluh susulan kenaikan harga bahan mentah dan meminta Putrajaya membantu mereka yang menyokong program itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.