
Beliau berkata, perkara itu mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
“Hari ini saya membuat pengisytiharan pembubaran DUN Kelantan bagi penggal ke-14 selepas saya menghadap Sultan Kelantan bagi memohon perkenan pembubaran DUN mengikut Fasal 2 Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan bahawa sultan boleh membubarkan DUN.
“Justeru, Sultan Kelantan perkenan untuk membubarkan DUN pada 22 Jun ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco, menurut Bernama.
Ahmad berkata, pihaknya akan menghantar notis pembubaran itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.
Pembubaran DUN memberi laluan kepada PRN yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
PAS memenangi 36 daripada 45 kerusi DUN Kelantan pada PRU 2018, manakala Barisan Nasional memperoleh lapan kerusi dan Bersatu menang satu kerusi.
Pakatan Harapan pula kalah semua kerusi yang ditandingi.
Pada PRU15, enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN.
Media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri terbabit mencapai kata sepakat masa paling sesuai berbuat demikian adalah dalam tempoh dua minggu terakhir Jun bagi membolehkan PRN diadakan serentak.
Setakat ini, Pulau Pinang bercadang membubarkan DUN pada 28 Jun, manakala Negeri Sembilan pula dijangka 30 Jun ini.