Calon duta AS ke Malaysia lihat potensi kerjasama nadir bumi

Calon duta AS ke Malaysia lihat potensi kerjasama nadir bumi

Edgard Kagan berkata wujud potensi AS mengembangkan kerjasama dengan Malaysia dalam mempelbagaikan rantaian bekalan nadir bumi dan mineral penting lain.

Calon duta AS ke Malaysia Edgard Kagan, kini pegawai kanan untuk Asia Timur di Majlis Keselamatan Negara AS. (Gambar Youtube)
WASHINGTON:
Calon duta Amerika Syarikat ke Malaysia berkata, beliau melihat potensi negaranya mengembangkan kerjasama dengan Malaysia dalam mempelbagaikan rantaian bekalan nadir bumi dan mineral penting lain.

Edgard Kagan, seorang diplomat yang kini pegawai kanan untuk Asia Timur di Majlis Keselamatan Negara AS, berkata di hadapan Senat pada Selasa bahawa pembangunan sumber baharu mineral penting bagi memastikan rantaian bekalan yang boleh dipercayai menjadi keutamaan bagi pentadbiran Presiden AS Joe Biden.

“Kepentingan melaksanakan aturan ini dengan negara-negara yang mempunyai hubungan baik (dengan kita) adalah sangat penting,” katanya sambil menambah, beliau percaya wujud potensi sebenar untuk usaha itu dilaksanakan dengan negara seperti Malaysia.

Katanya, beliau ingin bekerjasama rapat dengan sektor swasta AS, bahagian-bahagian berbeza dalam kerajaan AS, dan dengan kerajaan Malaysia untuk memastikan bidang kerjasama dapat dikembangkan dan pembangunan sumber disokong.

Kagan berkata, kerjasama dengan Malaysia akan dilaksanakan “dengan cara yang mampan dan menggalakkan nilai-nilai kita”, tetapi tidak menghuraikan dengan tepat bentuk kerjasama itu.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Senator Chris Van Hollen, yang menyatakan Malaysia menjadi lokasi kilang pemprosesan nadir bumi terbesar di luar China.

Van Hollen berkata, laporan baru-baru ini menyatakan Malaysia juga mempunyai deposit mineral strategik dan penting, termasuk timah.

China ialah pengeluar global dominan bagi nadir bumi yang diperlukan untuk memacu revolusi hijau kereta elektrik dan turbin angin, serta dalam aplikasi pertahanan seperti pengeluaran peluru berpandu.

AS dan sekutunya berusaha mempelbagaikan sumber bekalan di tengah-tengah persaingan strategik semakin sengit dengan Beijing.

Syarikat Australia, Lynas Rare Earths Ltd, mempunyai fasiliti di Malaysia yang disifatkan sebagai salah satu loji pengasingan nadir bumi terbesar dan paling moden di dunia.

Kerajaan Malaysia menzahirkan kebimbangan mengenai tahap radiasi hasil proses retak dan larut lesap di loji itu, tetapi bulan lalu bersetuju melanjutkan lesen operasi kilang Lynas untuk mengimport dan memproses nadir bumi hingga 1 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.