Saya dikeluarkan tanpa sebarang alasan, kata Sivaraj

Saya dikeluarkan tanpa sebarang alasan, kata Sivaraj

Bekas naib presiden MIC itu berkata beliau tidak akan merayu keputusan parti untuk mengeluarkan beliau daripada jawatankuasa kerja pusat.

Bekas naib presiden MIC C Sivaraj mengesahkan beliau dikeluarkan daripada jawatankuasa kerja pusat parti itu.
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden MIC C Sivaraj mengesahkan beliau “dikeluarkan” daripada jawatankuasa kerja pusat tetapi memberitahu tiada alasan diberikan presiden parti berhubung tindakan itu.

“Ya, saya dikeluarkan dan saya tahu ini adalah kuasa prerogatif presiden parti tetapi saya tidak dimaklumkan atas alasan apa,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan merayu keputusan Presiden MIC SA Vigneswaran, senator itu berkata, beliau tidak akan berbuat demikian kerana tidak tahu mengapa tindakan itu diambil.

Sivaraj yang dilantik ke jawatankuasa itu oleh Vigneswaran selepas tewas dalam perebutan jawatan naib presiden pada pemilihan parti 2021, berkata MIC kini ditolak sepenuhnya oleh rakyat.

“Atas sebab itu menjadi tanggungjawab kita untuk mencari jalan untuk mendapatkan sokongan dan tidak dilihat sebagai ancaman. MIC ketika ini ada isu imej,” katanya.

Sementara itu, satu sumber parti berkata, ada khabar angin mengatakan Sivaraj berhasrat untuk merebut jawatan tertinggi MIC pada pemilihan parti tahun depan. Katanya, Sivaraj dilihat sebagai pencabar kuat.

Satu sumber pula berkata, walaupun Sivaraj layak bertanding kerana pernah menjadi naib presiden tetapi dengan mengenakan tindakan terhadap beliau hari ini bakal membuatkan pemimpin itu sukar untuk mendapatkan sokongan akar umbi yang dilihat lebih memihak kepada presiden.

“Selain itu, Sivaraj dikenali sebagai budak ‘Umno dan Pakatan Harapan’ dan beliau sering berjumpa menteri tanpa berbincang dengan pemimpin parti.

“Terbaru beliau bertemu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Mac bagi merayu untuk memasukan dua sukan tradisi kaum India iaitu kabaddi dan silambam, dalam Sukan Sukma 2024.

“Sivaraj dalam satu hantaran di Facebook semalam berkata mesyuarat jawatankuasa Sukma meluluskan acara tersebut. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Yeoh,” kata sumber itu yang menambah ini mungkin menyebabkan kepimpinan tertinggi parti tersinggung.

Pada PRU14, Sivaraj menang kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti 597 undi. Bagaimanapun, kemenangan beliau dibatalkan mahkamah pada 2018 kerana terdapat bukti amalan rasuah ketika pilihan raya.

Sivaraj kemudianya bertanding di Parlimen Padang Serai pada PRU15, tetapi pemilihan kerusi itu ditangguh selepas calon PKR M Karupaiya meninggal dunia sehari sebelum hari pengundian.

Susulan, kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, Sivaraj bersetuju memberi laluan kepada calon PH dalam pilihan raya kecil Padang Serai tetapi kerusi itu dimenangi Perikatan Nasional.

Sivaraj kemudiannya dilantik sebagai senator pada Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.