PN bimbang wakil rakyat tak diberi dana juga mangsa penindasan hak asasi

PN bimbang wakil rakyat tak diberi dana juga mangsa penindasan hak asasi

Sepertimana Suhakam perlukan peruntukan mencukupi untuk aktiviti, begitu juga wakil rakyat pembangkang, kata Ahmad Fadhli Shaari.

PETALING JAYA:
Perikatan Nasional menyatakan kebimbangan bahawa wakil rakyat yang tak menerima sebarang dana daripada kerajaan juga mangsa penindasan hak asasi manusia.

Ketika membincangkan Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menarik perhatian kerajaan bahawa badan itu memerlukan peruntukan mencukupi, begitu juga Ahli Parlimen pembangkang.

“Suhakam memohon tambahan dan saya sokong. Untuk melaksanakan aktiviti Suhakam perlu kepada dana daripada pihak kerajaan namun dalam masa yang sama sudah tentu sebagai Ahli Parlimen kami juga perlukan dana untuk bekerja,” katanya.

Fadhli mendakwa situasi Ahli Parlimen pembangkang ketika ini hinggakan terpaksa guna duit sendiri untuk membayar gaji kerani dan pegawai khas.

“Satu sen pun tidak ada peruntukan daripada kerajaan,” tegasnya. “Saya bimbang dalam keadaan kita nak terbitkan hak asasi manusia, mangsa penindasan ialah kami – Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak menerima sebarang dana.”

Fadhli mengingatkan pemerintah bahawa mereka juga dipilih rakyat.

Beliau juga menyarankan Suhakam memasukkan ‘penindasan’ terhadap wakil rakyat dimasukkan dalam laporannya pada masa depan.

“Kalau Suhakam nak mohon RM12.45 juta ini, saya yakin kita boleh bagi, apatah lagi sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 7 Mac lepas berkata beliau sedia memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen namun mahu rundingan diadakan terflebih dahulu.

Fadhli dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi bagaimanapun berkata peruntukan sama rata telah dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan, maka rundingan tidak perlu diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.