
Bekas Ahli Parlimen DAP itu berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu segera membentuk jawatankuasa untuk meneliti perkara tersebut secara menyeluruh.
Minggu lalu dilaporkan seramai 14,858 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak hadir pada hari peperiksaan, iaitu 3.8% daripada 388,832 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
Menurut KPM, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding 10,681 yang tidak hadir peperiksaan itu pada 2021.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM akan mengkaji punca calon gagal menduduki peperiksaan.
Katanya, kajian itu akan membolehkan kementerian memperkenalkan langkah intervensi bagi menambah baik kehadiran pelajar pada peperiksaan SPM akan datang.
Bulan lalu KPM turut melaporkan hampir 50% (180,680 pelajar) lepasan SPM 2021 tidak berminat melanjutkan pengajian.
Santiago berkata, anak-anak meninggalkan persekolahan untuk bekerja adalah sesuatu yang “tidak boleh diterima”.
“Setiap pelajar Malaysia berhak mendapat peluang sama untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi tanpa mengira latar belakang.
“Kemudian barulah kita dapat merapatkan jurang ketidaksamaan sosial, membangunkan modal insan, dan meningkatkan pendapatan negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pendidikan sepatutnya membawa kepada lebih banyak peluang pekerjaan, serta pekerjaan bergaji tinggi. Bagaimanapun, katanya, golongan belia daripada keluarga berpendapatan rendah sering dinafikan peluang sedemikian.
“Apabila pelajar B40 dinafikan peluang sebegini, mereka lebih berkemungkinan terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah, seterusnya mengulangi kitaran kemiskinan untuk generasi akan datang,” katanya.