
Marcus Lee, peguam yang mewakili bapa kanak-kanak itu, berkata permohonan kerajaan itu akan didengari Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 21 Jun.
“Kami akan mengemukakan afidavit untuk menentang permohonan tersebut,” kata Lee kepada FMT.
Wan Ahmad pada 18 Mei memerintahkan JPM memberikan sijil kelahiran kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu, untuk mengesahkan status sebagai rakyat Malaysia, dalam tempoh 30 hari.
Beliau mengambil kira laporan DNA bahawa kanak-kanak itu anak kandung pemohon, seorang rakyat Malaysia, dan ia tidak dipertikaikan JPN.
Menurutnya, kanak-kanak itu memenuhi semua syarat Perkara 14 Perlembagaan, yang dibaca bersama perenggan 1(a) Bahagian II Jadual Pertama, seraya menjadikannya seorang warganegara secara undang-undang.
Terdahulu, si bapa pada Jun tahun lepas memohon mahkamah mengisytiharkan si anak seorang warganegara selepas JPN menolak permohonan beliau agar sijil kelahiran kanak-kanak itu menyatakan dia seorang warganegara.
Kanak-kanak itu hasil perkahwinan pemohon dengan seorang wanita warga Vietnam, dan dilahirkan pada Julai 2018 di sebuah hospital swasta di ibu negara sebulan sebelum perkahwinan mereka didaftarkan.
Menurut Lee, Ketua Pengarah JPM Zamri Misman dalam afidavit menyokong permohonan kerajaan itu mendakwa terdapat keadaan khusus yang mewajarkan perintah Mahkamah Tinggi itu digantung, sehingga rayuan JPN ke Mahkamah Rayuan selesai. Rayuan itu difailkan pada 26 Mei lalu.
Menurut Zamri, hal ini akan jadi rumit sekiranya Mahkamah Rayuan menerima rayuan JPN, kerana sijil kelahiran itu akan terpaksa dibatalkan selepas ia diberi kepada kanak-kanak itu, seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi.
Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty sebelum ini menyeru kerajaan untuk menarik balik rayuannya bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.