Kalau ‘flip flop’ boleh bantu rakyat, saya akan buat, kata PM

Kalau ‘flip flop’ boleh bantu rakyat, saya akan buat, kata PM

Keputusan meneruskan biasiswa JPA dan subsidi ayam serta telur dibuat selepas mendapat maklum balas ramai.

Anwar Ibrahim menjawab dakwaan Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjung Karang) yang beliau membuat keputusan ‘flip-flop’ dalam isu biasiswa JPA dan mengekalkan subsidi ayam dan telur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjawab kritikan pembangkang dengan menegaskan beliau tiada masalah “meneruskan keputusan flip-flop” jika tindakan itu memanfaatkan rakyat.

Anwar menegaskan perkara itu susulan dakwaan Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjung Karang) bahawa beliau membuat keputusan “flip-flop” dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan mengekalkan subsidi untuk ayam dan telur.

“Kalau pun ‘flip-flop’ untuk bantu rakyat saya akan ‘flip-flop’, buat apa tidak mahu ‘flip-flop’ tetapi bebankan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, biasiswa JPA bagi pelajar perubatan, pergigian atau farmasi diteruskan selepas beliau mendengar maklum balas menerusi mesyuarat dipengerusikannya minggu lalu.

Jelasnya, keputusan meneruskan subsidi telur dan ayam dibuat atas kapasiti sebagai menteri kewangan selepas menerima permohonan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup.

“Keputusan asal habis Jun, itu keputusan lama jadi kementerian hanya umumkan keputusan, rujuk kepada menteri kewangan, saya kata sambung.

“Apabila dimaklumkan kepada saya diteliti balik ini akan membebankan rakyat, raya haji dekat kita tolonglah rakyat,” katanya.

Menjawab soalan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), Anwar menegaskan perjanjian persempadanan maritim Malaysia-Indonesia ditandatangani baru-baru ini tidak akan menjejaskan kepentingan dan kedaulatan negara.

Anwar bersetuju dengan gesaan Muhyiddin supaya perjanjian komprehensif diwujudkan untuk menamatkan pertikaian sempadan antara dua negeri terbabit namun menegaskan hubungan diplomatik juga harus dijaga dalam menyelesaikannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.