Elaun pelajar tajaan JPA naik RM100

Elaun pelajar tajaan JPA naik RM100

Anwar berkata kadar elaun itu akan dinaikkan bermula 1 Julai ini membabitkan pelajar tajaan JPA dalam negara sahaja.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berharap pelajar-pelajar tajaan JPA tempatan dapat menggunakannya dengan berhemah.
BANGI:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim setuju menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam negara sebanyak RM100 sebulan.

Beliau berkata kadar elaun itu akan dinaikkan bermula 1 Julai ini dan berharap pelajar-pelajar tajaan JPA tempatan dapat menggunakannya dengan berhemah.

“Sudah umum setuju RM100 naik setiap bulan. Gunakan secara berhemah dan jangan membazir. Jangan hisap vape.

“Saya tolong (supaya tidak) susah nak makan dan beli buku,” katanya pada Program Cakna Madani Perdana Menteri bersama pelajar tajaan JPA di institusi pendidikan tinggi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anwar berkata kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan kadar ESH sebanyak 15% bagi pelajar tajaan JPA di luar negara kecuali pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK).

Katanya, ini kerana pelajar di UK telah dinaikkan elaun itu bermula 7 November tahun lepas.

“Kenaikan kadar ESH ini melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran sebanyak RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai Julai ini.

“Pertambahan kadar ESH itu memanfaatkan 43,595 orang pelajar tajaan JPA,” katanya.

Anwar berkata kenaikan kadar ESH ini merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi khususnya pelajar-pelajar B40 yang tinggal di bandar-bandar besar negara pengajian.

Katanya, inisiatif semakan semula kadar ESH ini akan membolehkan pelajar-pelajar tajaan kerajaan memberi fokus kepada pencapaian kecemerlangan akademik tanpa memikirkan bebanan kewangan pengajian, di samping memastikan penawaran penajaan kerajaan adalah kekal relevan dan berprestij.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.