
Anwar berkata, pihaknya bertemu dengan kepimpinan Jakim baru-baru ini dan mahu mereka membantu melakar rangka dasar pembangunan negara berteraskan Malaysia Madani, lapor Bernama.
Anwar berkata, fungsi Jakim sebelum kerajaan perpaduan ditubuhkan terhad kepada berdakwah, mengadakan latihan dan bersama-sama dengan kerajaan negeri menganjurkan tilawah al-Quran.
“Namun dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12, Belanjawan Madani, dan dalam melaksanakan reformasi institusi kerajaan dan negara, Jakim kurang peranannya,” katanya pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H/2023 di sini malam ini.
“Saya sebaliknya telah mengarahkan supaya peranan, baik mufti mahupun ulama atau tokoh-tokoh di Jakim, selari dengan perkembangan (semasa) supaya input mereka itu dapat memanfaatkan dan mengangkat martabat kerajaan.”
Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaannya mengabaikan Islam sekadar “fitnah”.
Jakim menerima peruntukan lebih tinggi bawah kerajaan perpaduan dan buat pertama kalinya diberi peranan lebih besar dalam membantu proses penggubalan dasar kerajaan berdasarkan konsep “Malaysia Madani”.
Jabatan itu sebelum ini dikritik disebabkan peruntukan belanjawan tahunannya yang besar, mencecah lebih RM1.5 bilion.
Antara individu yang mempersoalkan belanjawan jabatan itu termasuk Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.