Perak sedia bincang jual air kepada P Pinang

Perak sedia bincang jual air kepada P Pinang

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata permohonan Pulau Pinang untuk membeli air terawat diterima dua bulan lalu.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata ketika ini Lembaga Air Perak menjual air terawat berdasarkan meter padu air kepada pengguna di sekitar Nibong Tebal. (Gambar Bernama)
IPOH:
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad mengesahkan menerima permohonan daripada Pulau Pinang untuk membeli air terawat bagi kegunaan rakyat di negeri tersebut.

Saarani berkata surat permohonan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang bagi pembelian air terawat daripada Lembaga Air Perak (LAP) diterima kira-kira dua bulan lalu.

Menurutnya ketika ini LAP menjual air terawat berdasarkan meter padu air kepada pengguna di sekitar kawasan Nibong Tebal yang terletak bersebelahan dengan Parit Buntar.

“Kita bersedia mengadakan perbincangan dengan mereka (kerajaan Pulau Pinang). Jika sebelum ini mereka minta untuk membeli air mentah daripada negeri ini tetapi kita tidak dapat memenuhi permintaan tersebut.

“Bagaimanapun, penjualan air terawat itu tertakluk kepada kita cukup atau tidak untuk kegunaan rakyat di negeri ini (sebelum membuat keputusan untuk penjualan air terawat),” katanya.

Saarani berkata demikian pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim, campur tangan bagi membolehkan rundingan dibuat supaya Pulau Pinang memperoleh bekalan air mentah dari Perak khususnya menerusi Sungai Perak.

Pada Rabu lalu, Rayer ketika berbahas pada sesi penerangan menteri berkenaan fenomena cuaca panas luar biasa yang melanda negara di Dewan Rakyat menegaskan satu sesi libat urus antara kerajaan persekutuan, Perak serta Pulau Pinang wajar dimulakan.

Saarani pada Mac tahun lalu menegaskan, keputusan tidak membekalkan air ke Pulau Pinang itu turut mengambil kira beberapa kajian berhubung impak pengaliran keluar air dari Sungai Perak terhadap prestasi empangan jana kuasa elektrik serta kegunaan sektor perkilangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.