Kastam rampas ‘dadah kacang soya’ RM60.44 juta

Kastam rampas ‘dadah kacang soya’ RM60.44 juta

Dadah itu disyaki dibawa masuk dari Amerika Selatan untuk diseludup ke Asia Selatan.

Ketua Pengarah Kastam Zazuli Johan menunjukkan kokain seberat 302.20kg yang dirampas di Pelabuhan Klang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam merampas 10 guni dadah dipercayai kokain yang diikrar sebagai kacang soya, bernilai kira-kira RM60.44 juta di Pelabuhan Klang, Selasa lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Zazuli Johan, berkata dadah itu disyaki dibawa masuk dari Amerika Selatan, kemudian transit ke negara ini sebelum dibawa ke sebuah negara di Asia Selatan.

Katanya, rampasan itu hasil kerjasama keselamatan bersama kerajaan Arab Saudi, serta risikan agensi berkenaan mengenai sebuah kontena berukuran 20 kaki yang tiba di Pelabuhan Klang, 9.45 malam, 6 Jun lalu.

“Risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dan pasukan cawangan narkotik ibu pejabat kastam menjumpai 10 beg guni mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain.

“Berat kasar dadah itu adalah 302.20kg,” katanya pada sidang media di Nilai, Negeri Sembilan, menurut Berita Harian.

Sementara itu, Zazuli berkata, pihaknya turut merampas 151.85kg dadah dalam dua serbuan lain, masing-masing di Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 dan 6 Jun lalu.

“Cawangan kastam dengan kerjasama Bukit Aman menyita sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Klang, pada 12.30 tengah hari, 4 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan menemui 25 peket mengandungi serbuk putih disyaki ketamin dengan berat kasar 25.30kg. Nilai anggaran rampasan sebanyak RM1.520 juta. Dua lelaki warga tempatan berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.