
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata ramai pemohon terpaksa memohon di antara dua hingga empat kali sebelum diluluskan dan keadaan itu turut menjejaskan jabatan terbabit yang menguruskannya.
“Lebih baik kalau ada satu sistem baik supaya kita bagi mereka (luluskan) pada permohonan pertama, tidak perlu memohon berulang kali.
“Ini juga memberi kerja lebih kepada jabatan-jabatan yang berkenaan, sudah tiba masanya untuk kita mengkaji semula akta-akta sedia ada untuk membantu mereka ini,” katanya pada perbahasan di Dewan Rakyat.
Beliau juga mencadangkan Ahli Parlimen selaku wakil rakyat diberi peranan untuk mengenal pasti dan mengesahkan kes untuk mempercepatkan permohonan.
Khoo turut meminta kerajaan menjelaskan dasar pemberian status kewarganegaraan apabila dilihat mudah memberikannya kepada pemain bola sepak asing berbanding pemohon telah lama menetap di Malaysia.
“Ada seorang dari Indonesia berkahwin dengan orang Malaysia sejak 1981, tinggal lama di bandar ini dan anak semua warganegara, pernah buat banyak kali permohonan tetapi ditolak.
“Padahal kita lihat ada pemain bola dari negara asing datang ke Malaysia tiga hingga empat tahun sudah dapat menjadi warganegara,” katanya.