Jangan terpengaruh ‘ranking’ sekolah ikut keputusan SPM, menteri beritahu ibu bapa

Jangan terpengaruh ‘ranking’ sekolah ikut keputusan SPM, menteri beritahu ibu bapa

Ibu bapa sebaliknya disarankan agar mencari pendekatan untuk memperkukuh sistem pembelajaran anak-anak.

Menteri pendidikan menasihatkan ibu bapa agar tidak terpengaruh dengan ‘ranking’ sekolah berdasarkan keputusan SPM, sebaliknya memberikan fokus kepada anak-anak sendiri. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan penarafan (ranking) bagi mengukur prestasi antara sekolah berdasarkan keputusan SPM 2022, yang tular menerusi media sosial sejak semalam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sama sekali tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau pengesahan berkaitan dengan penarafan berkenaan.

“Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan apa-apa (kenyataan) secara rasmi berkaitan perkara itu (‘ranking’)… apa yang diunjurkan melalui gred purata sekolah (GPS) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu adalah untuk sekolah, daerah dan negeri sendiri, bukan untuk dipertandingkan.

“Ia adalah satu usaha untuk melihat perkara baharu yang perlu dilaksanakan kepada calon-calon SPM yang akan datang, jadi tidak timbul pasal ‘ranking’ itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jerayawara Pendidikan Madani dan Majlis Jalinan Mesra Bersama Menteri Pendidikan di sini hari ini.

Katanya, penarafan berkenaan bukan menjadi kayu ukur kepada petunjuk prestasi utama (KPI), sebaliknya merupakan sokongan kepada peningkatan dan kemajuan sesebuah sekolah.

“Jadi, saya harap ibu bapa jangan terpengaruh dengan ‘ranking’ itu… apa yang penting adalah melihat dan memberikan fokus kepada anak-anak sendiri, selain mencari pendekatan untuk memperkukuh sistem pembelajaran anak-anak,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu pelajar lepasan SPM yang tidak menyambung pengajian di peringkat tinggi, Fadhlina berkata, KPM sentiasa mengambil peduli, memberi bimbingan serta memantau melalui Sistem Pengesanan Murid Lepasan SPM.

“Kalau dilihat, KPM paling konsisten menjaga potensi, minat dan hala tuju pelajar ini, sebab itu kita ada beri bimbingan, kerjaya dan kaunseling di peringkat sekolah sejak awal lagi. Pelbagai ujian berkaitan kemahiran juga telah dilaksanakan bagi melihat minat dan hala tuju mereka.

“Selain itu, banyak festival kerjaya dan ceramah motivasi daripada alumni sekolah diadakan bagi memupuk minat pelajar ini untuk menyambung pengajian selepas tamat SPM.

“Cumanya, ada yang tidak menyambung pengajian atas pilihan sendiri atau keluarga … jadi kita perlu mengambil kira faktor luaran lain yang menyebabkan mereka tidak menyambung pengajian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.