Apa yang kerajaan sembunyikan dalam kes Amri, kata kumpulan hak asasi manusia

Apa yang kerajaan sembunyikan dalam kes Amri, kata kumpulan hak asasi manusia

Aktivis mempersoalkan apa yang terlalu sensitif mengenai kehilangan Amri Che Mat hinggakan kerajaan yang komited kepada reformasi dan ketelusan mahu ia dirahsiakan.

Seorang peguam berkata keengganan kerajaan untuk mendedahkan penemuannya mengenai kehilangan Amri Che Mat hanya menguatkan persepsi negatif orang ramai terhadap pihak berkuasa. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Pejuang hak asasi manusia menggesa kerajaan mematuhi perintah mahkamah bagi mengeluarkan laporan sulit kehilangan aktivis Amri Che Mat, yang hilang sejak 2016.

Kerajaan perlu menarik balik rayuannya terhadap perintah itu, yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bulan lepas, kata Rama Ramanathan daripada Citizens Against Enforced Disappearance (Caged).

Beliau berkata: “Masyarakat benar-benar ingin tahu apa yang ada dalam laporan itu yang membebankan pihak polis atau orang yang berkuasa ketika itu sehingga mereka perlu menyembunyikannya?

“Apa yang telah ditemui yang menjadikannya begitu berbahaya untuk negara? Kerajaan mendakwa bahawa ia adalah soal keselamatan negara (dan) itulah sebabnya ia melakukan perkara ini. Saya rasa alasan itu tidak dapat diterima”

Kehilangan Amri, dan paderi Raymond Koh, telah diisytiharkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai kes kehilangan paksa yang dilakukan oleh negara, khususnya Cawangan Khas.

Sevan Doraisamy dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, kerajaan semasa perlu menunjukkan bahawa ia berbeza berbanding kerajaan sebelum ini dalam mengendalikan kes berkenaan.

Beliau juga berkata bahawa keluarga Amri dan orang ramai berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku mengenai kehilangannya, dan kerajaan perlu melaksanakan ketelusan dan akauntabiliti.

Rama berkata menyediakan laporan sulit itu adalah “semuanya mengenai perbicaraan yang adil dan hak sama rata di bawah undang-undang”.

Katanya, tindakan kerajaan untuk merayu tidak akan menyebelahi keluarga Amri dan paderi Koh kerana kerajaan mempunyai akses kepada penemuan laporan itu.

“Dalam kes sivil, kerajaan sepatutnya berkongsi semua bukti. Dalam hal ini, kerajaan mempunyai bukti, tetapi keluarga tidak.”

“Nampaknya kerajaan mempunyai bukti yang tidak mahu dikongsi. Pada asasnya, kita hidup dalam keadaan di mana kehilangan secara paksa dianggap normal dalam menjaga undang-undang dan ketenteraman.”

Minggu lalu, Larissa Ann Louis, peguam kepada isteri Amri, Norhayati Ariffin, berkata kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap perintah untuk mendedahkan laporan berkenaan dan telah mendapat penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan.

Mahkamah Tinggi telah memerintahkan kerajaan pada 9 Mei untuk mendedahkan laporan itu kepada Norhayati dalam tempoh sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.