Annuar Musa kini ahli PAS

Annuar Musa kini ahli PAS

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, parti itu menerima keahlian bekas Ahli Parlimen Ketereh itu bersama 3,000 ahli baharu yang lain hari ini.

Keahlian Annuar Musa dalam PAS diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan malam ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Annuar Musa kini sah menjadi ahli PAS, kata Setiausaha Agung parti itu, Takiyuddin Hassan.

Menurut Takiyuddin, PAS menerima keahlian bekas Ahli Parlimen Ketereh itu bersama 3,000 ahli baharu yang lain hari ini.

“Saya ingin memaklumkan Annuar Musa diterima menjadi ahli PAS … dengan 3,000 keahlian baharu hari ini,” katanya, lapor Bernama.

“Ramai memohon masuk dalam PAS, Bersatu …(selepas ini) tokoh masyarakat lain yang diterima masuk ke parti ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.”

Takiyuddin memaklumkan perkara ini ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Seremban, yang turut dihadiri Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang.

Sementara itu, dilaporkan Annuar berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kepimpinan tinggi PAS dan PN yang menerima keahliannya.

“Saya bersyukur pada malam ini saya dapat bersama dengan semua (penyokong PN) pada hari bersejarah bagi diri saya, (keputusan ini) tidak dipengaruhi oleh sesiapa,” katanya, yang juga pengerusi NGO Muafakat Nasional (MN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.