Pesalah buli jalan raya perlu jalani penilaian psikologi, kata MMA

Pesalah buli jalan raya perlu jalani penilaian psikologi, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia berkata individu disabitkan perlu menjalani penilaian psikologi sebelum dibenar memandu semula.

Pada awal minggu ini, tular video penyelia kilang Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, menyerang seorang pemandu wanita berhampiran Lata Iskandar, Cameron Highlands.
PETALING JAYA:
Individu yang disabitkan dengan kesalahan buli jalan raya perlu menjalani penilaian psikologi sebelum dibenarkan memandu kenderaan semula, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai yang disabitkan dengan kesalahan itu perlu menjalani penilaian masalah mental dan menjalani rawatan, selain dikenakan hukuman undang-undang.

“Ini adalah langkah yang perlu kerana walaupun mereka sudah menjalani hukuman penjara, penyakit yang tidak dirawat adalah bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Muruga berkata individu yang melakukan kesalahan buli jalan raya biasanya sukar untuk mengawal emosi manakala faktor psikologi seperti tekanan, kebimbangan dan kemarahan boleh menyumbang kelakuan ganas di jalan raya.

Katanya, isu seperti penggunaan bahan terlarang atau penyakit bipolar boleh menyebabkan seseorang cenderung gagal mengawal kemarahan yang membawa kepada buli jalan raya.

“Kami menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan cadangan memasukkan rujukan kepada pasukan kesihatan mental bagi penilaian psikologi dan pengurusan dalam bentuk kaunseling atau psikoterapi, sebahagian pengurusan kes buli jalan raya.”

Pada awal minggu ini, tular video penyelia kilang Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, menyerang seorang pemandu wanita berhampiran Lata Iskandar, Cameron Highlands.

Dalam video berkenaan, Zaim dilihat keluar dari keretanya dan mengetuk cermin kenderaan di belakang sebelum memarahi dan memukul kepala pemandu wanita tersebut.

Zaim yang mengaku salah di mahkamah dihukum penjara tujuh hari. Bagaimanapun, dia juga disiasat kerana disyaki menyerang dua pekerja restoran di Cameron Highlands dalam kejadian berasingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.