
Beliau berkata rekod berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah serta satu rekod dikehendaki polis di Lanchang, Pahang.
“Ibu kanak-kanak itu merupakan seorang mualaf berumur 18 tahun dan telah menetap dengan suspek selama dua bulan.
“Sepanjang tempoh berkenaan, ibu kanak-kanak itu telah dikurung di dalam bilik berasingan dengan anaknya dan dikunci oleh suspek,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.
Shuhaily berkata kanak-kanak berkenaan agak aktif dan dikurung selepas dipukul akibat membuat bising.
“Hasil pemeriksaan, suspek gagal mengemukakan kad pengenalannya dan dia memiliki kad pengenalan orang lain.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine serta direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut Shuhaily motif kejadian sedang disiasat dan berdasarkan pengakuan awal, suspek menyatakan memukul kanak-kanak itu kerana selalu membuat bising.
Beliau berkata Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) IPK Kuala Lumpur telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, Peraturan 25(2) Akta Pendaftaran Negara 1959 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semalam, polis telah menahan lelaki berusia 31 tahun itu di sebuah pangsapuri di Taman Kepong Indah, di sini.
Berikutan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.