Penduduk di kawasan marhaen alu-alu projek PJD Link

Penduduk di kawasan marhaen alu-alu projek PJD Link

Lalu lintas dari lebuh raya melimpah masuk ke jalan-jalan perumahan di Taman Medan dan kawasan sekitar, sekaligus menyebabkan kesesakan teruk.

Penduduk sekitar Taman Medan berkata PJd Link akan bantu meredakan kesesakan lalu lintas yang teruk ketika waktu puncak.
PETALING JAYA:
Dua persatuan penduduk di Taman Medan mengalu-alukan projek PJD Link kerana ia akan membantu meredakan kesesakan lalu lintas yang menghimpit penduduk di situ, yang kebanyakannya isi rumah berpendapatan rendah.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Maju Jaya, Khatijah Abdullah, berkata jalan utama dan perumahan di situ sesak teruk apabila lalu lintas melimpah masuk daripada Lebuh Raya Baru Pantai.

“Sekarang nak guna jalan perumahan pun susah kerana kenderaan daripada luar menggunakan laluan itu untuk memintas kesesakan di lebuh raya,” kata Khatijah kepada FMT.

“Ketika waktu puncak, nak pulang atau keluar dari kawasan kami boleh ambil masa 20 hingga 30 minit. Kami juga rimas dengan bunyi bising dan pencemaran udara (akibat kesesakan lalu lintas).”

Khatijah menyambut baik projek PJD Link kerana manfaat projek itu namun mahu pembinaannya harus dibuat dengan betul agar tidak mengundang masalah lain seperti banjir, pencemaran, atau jalan rosak.

Hussein Dollah, pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Blok A Pangsapuri Permai, percaya PJD Link akan mencipta banyak peluang pekerjaan bagi penduduk Taman Medan.

Katanya, belia Taman Medan sukar mendapatkan pekerjaan sejak wabak Covid-19 melanda. Sekiranya projek lebuh raya itu diluluskan, beliau percaya banyak peluang pekerjaan dan perniagaan akan timbul semasa tempoh pembinaan.

Hussein berkata dia dan persatuan penduduk lain menyerahkan surat menyokong lebuh raya itu kepada Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau juga percaya PJD Link akan meredakan kesesakan lalu lintas pad waktu puncak di Jalan PJS 1/25, yang melewati rumah pangsanya.

“Setiap hari banyak kereta dari NPE guna jalan ini untuk ke Kinrara, Puchong. Jadi lebuh raya macam PJD Link akan benar-benar membantu meredakan kesesakan.”

Sementara itu, perunding lebuh raya Nizar Mansor berkata lebuh raya dari Damansara ke Kinrara, Puchong sepanjang 25.4km yang dicadangkan itu akan meredakan kesesakan pada waktu puncak di Taman Medan dan Kayu Ara.

Beliau berkata pengguna kenderaan yang menggunakan lebuh raya Sprint, Kesas, dan NPE melimpah masuk ke jalan-jalan perumahan di Taman Medan dan kawasan sekitar.

“Penduduk barangkali ambil masa hampir satu jam hanya nak keluar daripada kawasan perumahan,” kata Nizar kepada FMT.

Nizar berkata PJD Link juga akan membolehkan penduduk marhaen mendapat akses lebih cepat ke tempat kerja, kerana ia bersambung dengan laluan pengangkutan awam.

“Cadangan laluan bas yang melalui PJD Link akan menghubungkan penduduk dengan mana-mana lima laluan tren awam, dengan cepat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.