Menteri kecam pelawak Singapura perlekeh Malaysia

Menteri kecam pelawak Singapura perlekeh Malaysia

Menteri Luar Zambry Abdul Kadir berkata tindakan itu tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa tragedi.

Tangkap layar video tular memaparkan pelawak wanita Singapura memperlekeh Malaysia dalam persembahan komediri diadakan di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR:
Menteri Luar Zambry Abdul Kadir meluahkan rasa kesal, dan mengecam tindakan wanita bernama Jocelyn Chia melalui rakaman videonya yang secara jelas memperlekeh Malaysia serta mempersenda tragedi pernah melanda negara.

Zambry dalam kenyataan malam tadi berkata, tindakan itu langsung tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa tragedi.

“Video ini juga jelas menggambarkan perilaku yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran negara Asia yang sememangnya terkenal dengan adab dan tatasusila.

“Saya percaya ini bukanlah pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara, apatah lagi menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang bentuk tindakan atau cubaan seperti ini diharap dapat dihentikan bagi memastikan rasa hormat pada mana-mana negara terus dipelihara.

Terdahulu tular di media sosial klip video memaparkan seorang pelawak wanita dari Singapura memperlekeh Malaysia dalam persembahan komediri bertajuk “Singapore vs Malaysia” yang diadakan di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Pelawak itu antaranya mengeluarkan kenyataan termasuk jenaka keterlaluan menyentuh kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan “tidak mendarat”.

Bukan lagi rakyat Singapura

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan tindakan pelawak berasal dari republik tersebut dikenali sebagai Jocelyn Chia.

Beliau turut memaklumkan wanita itu tidak lagi memegang kerakyatan Singapura.

“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima kata-kata atau tindakan yang boleh mencetuskan kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang bukan lagi warga Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripadanya,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.