
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kementerian memberi peluang kepada Telegram untuk berbuat demikian kerana platform media sosial itu menghubungi pihaknya baru-baru ini, walaupun SKMM telah memberikan syor yang sangat tegas.
“Saya telah menerima beberapa syor yang sangat tegas daripada SKMM, tapi kita memberi ruang kepada Telegram untuk menghubungi SKMM kerana Telegram telah menghubungi pejabat saya (baru-baru ini).
“Maka, sekiranya ada kesediaan Telegram untuk duduk semeja dengan SKMM dan Bukit Aman, saya percaya isu sebaran bahan lucah, jualan dadah, scam, dan maklumat palsu (di platform berkenaan) dapat diberi perhatian oleh Telegram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen “Hour of Code sempena International Girls in ICT” (GICT 2023).
Pada 3 Jun, Fahmi berkata, kerajaan akan memastikan sebarang tindakan yang mungkin dikenakan ke atas Telegram tidak akan terlalu menjejaskan pengguna platform tersebut.
Beliau berkata, pihaknya sedar aplikasi tersebut banyak digunakan khususnya oleh komuniti tertentu seperti sekolah dan pengamal media untuk menghantar video dan imej.