Peruntukan negeri ikut bilangan penduduk, tiada kaitan politik

Peruntukan negeri ikut bilangan penduduk, tiada kaitan politik

Timbalan menteri kewangan memberikan contoh Kedah sebagai negeri ketiga menerima pemberian tertinggi selepas Kelantan dan Sabah.

Steven Sim berkata terdapat kenaikan sebanyak 1.04% bagi peruntukan negeri khususnya Kedah, melebihi purata kenaikan paras negeri lain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim menegaskan peruntukan disampaikan kepada setiap negeri adalah berdasarkan bilangan penduduk, bukan mengikut kecenderungan politik seperti didakwa.

“Pemberian peruntukan negeri bukan sekadar geran per kapita. Kedah merupakan negeri ketiga yang menerima Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian Tahap) tertinggi selepas Kelantan dan Sabah.

“Kalau mengikut kiraan macam ini, memang tiada kaitan dengan politik,” katanya di Dewan Rakyat.

Sim berkata, terdapat kenaikan sebanyak 1.04% bagi peruntukan, khususnya bagi Kedah, melebihi purata kenaikan paras negeri lain.

“Namun, saya akan minta kementerian untuk membawa perbincangan dalam mesyuarat majlis kewangan yang akan datang bagi memperincikan perkara ini,” katanya.

Beliau menjawab Awang Hashim (PN-Pendang) yang mempersoalkan pertimbangan serta usaha kerajaan dalam menghalusi semula geran per kapita berdasarkan Bahagian I Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Awang turut mempersoalkan kesediaan kerajaan untuk bersikap adil tanpa unsur diskriminasi terhadap negeri pembangkang.

“Pulau Pinang dengan mudah mendapat peruntukan transit aliran ringan (LRT) sebanyak RM10 bilion sedangkan Kedah meminta berjumpa dengan menteri pun tak dapat,” katanya.

“Saya ingin cadang, tiada perkara yang tak boleh selesai dengan perbincangan. Kita duduk semeja dan bincang, selesai isu rakyat, hal peribadi kita biar mahkamah selesai.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.