Jokowi adakan lawatan kerja 2 hari ke Malaysia

Jokowi adakan lawatan kerja 2 hari ke Malaysia

Presiden Indonesia akan diiringi isteri, Iriana Joko Widodo, menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan.

Jokowi bersalaman dengan Anwar Ibrahim ketika sidang kemuncak Asean ke-42 di bandar Manggarai Barat, kepulauan Flores di Wilayah Nusa Tenggara Timur pada 10 Mei. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Presiden Indonesia Joko Widodo akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai Rabu, yang disifatkan sangat signifikan dalam usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan erat lama terjalin antara kedua-dua negara.

Semasa lawatan itu, Joko Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi, dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menilai kemajuan bidang kerjasama dan membincangkan isu dua hala yang tertunggak.

“Perdana menteri dan presiden juga dijangka bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan isu-isu serantau dan global termasuklah pengukuhan Asean pasca 2025.

“Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang akan ditandatangani oleh wakil-wakil kementerian dan agensi berkaitan dari kedua-dua negara,” menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).

Presiden akan diiringi isteri, Iriana Joko Widodo, menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan Indonesia.

Menurut kenyataan itu, Jokowi turut dijadual menghadiri majlis santapan petang bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.

Pada 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar Asean dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (USD29.55 bilion), peningkatan sebanyak 36.5% berbanding RM95.31 bilion (USD22.98 bilion) pada 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.