Harga beras putih tempatan kekal, hanya import naik, kata Mat Sabu

Harga beras putih tempatan kekal, hanya import naik, kata Mat Sabu

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata beras putih import naik sekitar 5.0%.

Harga beras dunia menunjukkan trend meningkat terutama dari negara pengeluar utama Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memberi jaminan harga beras putih tempatan terkawal dan kekal sekitar RM2.60 sekilogram walaupun terdapat kenaikan bagi beras putih import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata hanya beras putih import yang dijual di pasaran tempatan naik sekitar 5.0%.

“Saya beri jaminan yang naik harga itu adalah beras import yang berkualiti tinggi untuk orang berada…(tetapi) untuk rakyat Malaysia, keadaan beras (tempatan) terjamin di sekitar RM2.60 sekilo,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang mahu tahu tindakan kementerian menambah baik kedudukan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) Malaysia.

Harga beras dunia menunjukkan trend meningkat terutama dari negara pengeluar utama Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam.

Beras Thailand, yang menjadi penanda aras di Asia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun pada USD523 satu tan, tertinggi sejak Mac 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.