
Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob, membangkitkan perkara itu selepas menerima banyak aduan daripada pesawah di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah.
“Aduan diterima bermula April lalu hingga hujung Mei. Pemerhatian kami mendapati terdapat sebahagian benih yang dijual kepada pesawah adalah benih lama yang melebihi tiga bulan dari tarikh proses, sebahagian lagi adalah benih masih baru namun didapati tidak bercambah apabila direndam air.
“Selain kualiti teruk, pernah juga terjadi di mana bekalan benih tidak mencukupi dan berlaku eksploitasi harga yang melampau. Sampai bila petani harus membuat aduan demi aduan, tetapi seolah-olah tidak dipedulikan,” katanya dalam kenyataan.
Rashid turut mendakwa sikap sambil lewa syarikat pengeluar benih padi yang bertindak sesuka hati tanpa memikirkan nasib petani kerana mereka dilindungi sistem pelesenan dan kuota bekalan.
Katanya, setiap musim pengeluar benih dengan mudah mendapat keuntungan jutaan ringgit daripada subsidi diberikan kerajaan terus kepada syarikat.
“Bermakna, sama ada benih dihasilkan berkualiti atau tidak, syarikat-syarikat ini tetap dapat membuat tuntutan bayaran subsidi daripada kerajaan.
“Ini ditambah dengan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan lemah oleh pihak kawal selia industri padi dan beras. Saban musim kebelakangan ini, iaitu tiga musim ke belakang petani tidak mendapat hasil akibat benih kurang berkualiti serta cuaca tidak menentu menyebabkan kerugian luar jangkaan,” katanya.
Katanya, Pesawah menggesa kerajaan memberi lebih banyak lesen kepada pihak yang ingin menjual benih padi termasuk pertubuhan peladang, koperasi dan perusahaan kecil dan sederhana (SME), serta individu bagi membolehkan petani mempunyai pilihan dan bekalan tidak hanya dimonopoli pihak tertentu.
Selain itu katanya, subsidi benih padi pula seharusnya diberikan terus kepada petani melalui sistem kupon atau tunai.
“Dengan cara ini, petani akan mendapat lebih banyak pilihan dan persaingan pasaran membolehkan kualiti terjamin dan harga terkawal. Petani sudah tentu akan memilih pihak yang menjual benih berkualiti dengan harga berpatutan.
“Pesawah turut menggesa pihak berkuasa melaksanakan sesi libat urus untuk memperincikan cadangan ini kerana petani sekian lama dipermainkan oleh sistem kuota bekalan benih ini,” katanya sambil mendakwa terdapat petani di Negeri Sembilan dan Perak belum menerima bayaran tabung bencana.