Kes HFMD meningkat di Johor

Kes HFMD meningkat di Johor

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata Johor Bahru mencatat bilangan kes tertinggi dengan 607 kes.

Jabatan Kesihatan Johor telah meminta semua pengusaha institusi penjagaan kanak-kanakmengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan HFMD, kata Ling Tian Soon. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3 kali ganda pada minggu epidemiologi ke 22 berbanding minggu epidemiologi lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata secara keseluruhan, kumulatif kes HFMD di negeri itu ialah 1,656 kes dengan daerah Johor Bahru mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 607 kes.

“Ia diikuti Tangkak 204 kes, Kota Tinggi (167, Batu Pahat (144), Kluang (136), Segamat (121), Pontian (104), Kulai (101), Muar (67) dan lima kes di Mersing.

“Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur hingga enam tahun iaitu sebanyak 1,293 kes, diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 202 kes dan selebihnya adalah berumur lebih 13 tahun.

“Sehingga tempoh itu, sebanyak lima wabak aktif HFMD dilaporkan di Johor.

“Lokasi penularan wabak HFMD di Johor sehingga kelmarin membabitkan tadika 26 wabak, diikuti taska (6), pusat jagaan harian (5), prasekolah (3), rumah persendirian (2) dan satu wabak di sekolah rendah,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Tian Soon berkata, penyakit HFMD disebabkan Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

Katanya, virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

“Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

“Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.

“Memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak, Jabatan Kesihatan negeri meminta semua pengusaha mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.