
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pelajar perlu dilatih tanpa mengira status mereka.
Katanya, pengalaman itu mampu memberi pemahaman khasnya untuk golongan muda merasai pengalaman mereka yang bekerja seperti memotong rumput dan membersih jalan.
“Cadangan (mencuci tandas sekolah) yang disarankan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah perkara cukup baik di mana amalan ini sebelum ini semakin hari semakin hilang.
“Mencuci tandas sama ada di rumah atau di sekolah merupakan sesuatu perkara yang patut dilatih dalam kalangan anak-anak,” katanya menurut Utusan Borneo.
Beliau yang juga menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan, berkata sekolah merupakan tempat untuk memulakan amalan itu.
“Ia perlu diamalkan tidak kira kita orang kaya atau tidak dan sekolah merupakan tempat terbaik untuk memulakannya.
“Bagi keluarga yang menganggap ini tidak masuk akal dan siapa yang kata bahawa sekolah hanya untuk menuntut ilmu, mencuci tandas juga sebahagian daripada pendidikan,” katanya.
Baru-baru ini, Anwar mahu murid sekolah dididik mencuci kemudahan itu sebagai didikan “menjaga kebersihan dan nilai baik”.
Anwar berkata, amalan itu pernah dibuat ketika beliau menjadi menteri pendidikan pada 1986.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyambut baik saranan Anwar dan berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperincikan cadangan tersebut dan ruang pelaksanaan yang memberikan impak serta nilai tambah kepada murid secara keseluruhan.