‘Licin jentera’ PN, alasan Peja ganti Eddin di N Sembilan

‘Licin jentera’ PN, alasan Peja ganti Eddin di N Sembilan

Ahmad Faizal Azumu menggantikan Eddin Syazlee Syith sebagai ketua PN negeri pada awal bulan ini.

Ahmad Faizal Azumu (kiri) menggantikan Ketua Bersatu Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith sebagai ketua Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahmad Faizal Azumu memberi alasan “melicinkan jentera pilihan raya” di sebalik pelantikannya sebagai ketua Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, menggantikan Eddin Syazlee Syith, baru-baru ini.

Beliau yang juga timbalan presiden Bersatu juga menyatakan tidak akan bertanding di mana-mana negeri yang akan mengadakan PRN, termasuklah di negeri berkenaan.

“Saya buat pengumuman hari ini walaupun saya dilantik memegang jawatankuasa ini untuk melicinkan jentera pilihan raya…saya buat pengakuan tidak akan bertanding…termasuk di Negeri Sembilan… Ini kerana saya berasal dari Perak dan saya berhasrat memberi khidmat di tempat sendiri,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu negeri dan Badan Perhubungan PN negeri yang pertama, di Seremban, selepas mengambil alih jawatan itu daripada Eddin Syazlee.

Mengenai pembahagian kerusi Bersatu di Negeri Sembilan, Faizal yang juga pengerusi jawatankuasa kerusi mewakili Bersatu, berkata ia telah selesai dilaksanakan dan sedang menunggu saringan oleh pucuk pimpinan tertinggi yang akan diputuskan kemudian.

Selain Negeri Sembilan, negeri yang akan mengadakan PRN ialah Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.