BWF pertahan Chong Wei, Lin Dan layak untuk ‘Hall of Fame’

BWF pertahan Chong Wei, Lin Dan layak untuk ‘Hall of Fame’

BWF mengiktiraf pencapaian dan sumbangan legenda sukan itu dan berharap dapat menyenaraikan lebih banyak juara ke dalam Dewan Kemasyhuran.

Lee Chong Wei dan Lin Dan berhak mendapat pengiktirafan diberikan kepada mereka pada 26 Mei lalu berikutan sumbangan cemerlang terhadap badminton. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas jaguh badminton negara Lee Chong Wei dan legenda China, Lin Dan, layak disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

BWF dalam kenyataan menegaskan, kedua-dua pemain itu berhak mendapat pengiktirafan diberikan kepada mereka pada 26 Mei lalu berikutan sumbangan cemerlang terhadap sukan badminton di luar gelanggang dalam tempoh masa signifikan.

Ia berkata, Majlis BWF meluluskan pencalonan Chong Wei dan Lin Dan untuk disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran yang dicadangkan Suruhanjaya Anugerah BWF, mengikut kriteria pemilihan ditetapkan bawah Peraturan Anugerah BWF.

“BWF mengiktiraf pencapaian dan sumbangan banyak legenda sukan ini dan berharap dapat menyenaraikan lebih banyak juara ke dalam Dewan Kemasyhuran BWF dalam tahun-tahun mendatang,” kata BWF.

Baru-baru ini, penyenaraian Chong Wei dalam Dewan Kemasyhuran BWF kurang disenangi legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat selepas tular video menunjukkan beliau mempersoalkan kelayakan bekas pemain nombor satu negara itu.

Taufik berkata, Lin Dan lebih layak mendapat pengiktirafan itu.

Jumaat lalu, sebagai respons, Chong Wei, 41, meminta Taufik mendapatkan penjelasan BWF dan berharap badan dunia itu akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Chong Wei, berasal dari Pulau Pinang, merupakan pemain nombor satu dunia selama 349 minggu, dengan tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, serta tiga gelaran naib juara dunia pada 2011, 2013 dan 2015.

Dalam pada itu, Lin Dan merupakan pemenang dua pingat emas Olimpik di Beijing 2008 dan London 2012 serta lima kejuaraan kejohanan dunia pada 2006, 2007, 2009, 2011 dan 2013.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.