1,225 ditahan curi kenderaan dalam tempoh 4 bulan

1,225 ditahan curi kenderaan dalam tempoh 4 bulan

Polis turut merampas 847 kenderaan curi bernilai RM19.8 juta dan wang tunai RM502,865.

Bukit Aman berkata pihaknya berjaya menyelesaikan 1,658 kes curi kenderaan menerusi Op Lejang Khas 2023 dari Januari hingga April lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menyelesaikan 1,658 kes curi kenderaan dengan penahanan 1,225 individu menerusi Op Lejang Khas 2023 yang bermula Januari hingga April lepas.

JSJ Bukit Aman dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya memaklumkan dalam tangkapan itu, pihaknya turut merampas 847 buah kenderaan yang dipercayai dicuri dianggarkan bernilai RM19.8 juta dan wang tunai RM502,865.

“Semua individu tersebut (1,225 orang) ditahan dalam 1,049 serbuan yang dilakukan pihak polis di seluruh negara.

“Menurut statistik yang dikeluarkan jabatan ini, sebanyak 6,709 kertas siasatan dibuka bagi kecurian kenderaan dan 639 kertas siasatan berjaya dituduh bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, JSJ turut menasihati orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak mempunyai sistem kamera litar tertutup dan lakukan ujian keberkesanan terhadap sistem penggera kenderaan.

“Pencuri tidak akan mencuri kenderaan yang dilengkapi dengan sistem tambahan dan orang ramai juga digalakkan untuk tidak menangguhkan laporan polis sekiranya kenderaan mereka dicuri,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.