Permohonan Loh tangguh cabar hak jagaan bekas suami didengar 6 Julai

Permohonan Loh tangguh cabar hak jagaan bekas suami didengar 6 Julai

Loh Siew Hong mahu prosiding mengubah perintah penjagaan ditangguhkan sehingga permohonannya untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan didengar.

Loh Siew Hong mahu Mahkamah Persekutuan membatalkan perintah Mahkamah Rayuan yang membenarkan pihak berkuasa agama Perlis campur tangan dalam perebutan hak penjagaan anak-anaknya dengan bekas suami.
KUALA LUMPUR:
Permohonan Loh Siew Hong untuk menangguhkan usaha pihak berkuasa agama Perlis dan bekas suaminya untuk mengubah perintah penjagaan yang dikeluarkan pada 2020, sementara menunggu permohonannya mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, akan didengar bulan depan.

Peguam Loh, Gunamalar Joorindanjn berkata, tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozianti Hanaphi semasa pengurusan kes hari ini.

Beliau berkata, Hakim Evrol Mariette Peters, akan mendengar permohonan itu pada 2 petang, 6 Julai.

Pada 7 Feb lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan yang disampaikan oleh Peters tahun lepas, dan membenarkan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) campur tangan dalam prosiding itu.

Keputusan itu membolehkan MAIPs mendapatkan variasi perintah penjagaan yang diperoleh ke atas tiga anak-anak Loh. Bekas suami Loh, Muhammad Nagahswaran Muniandy turut menyertai permohonan untuk mengubah perintah itu.

Loh memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan. Permohonan itu ditetapkan untuk didengar dalam talian pada 9 pagi, 6 Julai.

Permohonan untuk mengubah perintah jagaan itu akan didengar oleh Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz selepas MAIPs memohon untuk menggugurkan Peters. Setakat ini, masih tiada tarikh ditetapkan untuk permohonan ini didengar.

Nagahswaran dikatakan telah membawa anak-anaknya ke Perlis, di mana dia secara sepihak mengislamkan mereka pada 6 Julai 2020.

Anak kembar perempuan Loh, yang berusia 15 tahun, dan anak lelaki berusia 11 tahun diletakkan bawah jagaan dan kawalan pendakwah Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Pada 31 Mac 2020, Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan penuh anak-anak kepada Loh. Perceraiannya dengan Nagahswaran dimuktamadkan pada 23 Sept 2021.

Loh juga membuat permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi, yang dibenarkan oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah pada Februari tahun lepas. Ini membolehkan Loh bertemu semula dengan anak-anaknya.

Bagaimanapun, pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi lain menolak permohonan semakan kehakiman oleh Loh, yang mencabar penukaran agama anak-anaknya kepada Islam secara sepihak.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berpendapat, anak-anak itu masih beragama Islam. Beliau berkata, sijil penukaran agama mereka ialah bukti muktamad mereka bertukar agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.