Memburu lebih ancam biodiversiti banding kelapa sawit, kata Fadillah

Memburu lebih ancam biodiversiti banding kelapa sawit, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata industri itu bukannya suatu keburukan alam sekitar seperti didakwa pelobi dan kempen anti-minyak sawit.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menyampaikan ucaptama di Forum Antarabangsa Minyak Sawit Lestari di London. (Gambar Bernama)
LONDON:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menyelar pelobi dan kempen anti-minyak sawit yang menyalahkan tanaman tersebut atas kemerosotan populasi orang utan, menyatakan aktiviti pemburuan memberikan ancaman yang jauh lebih besar kepada kehilangan biodiversiti berbanding perladangan kelapa sawit.

“Inilah kebenarannya: jumlah (orang utan) kekal kukuh pada 11,000 sejak lima tahun lepas. Sudah tiba masanya untuk menukar tumpuan kita,” katanya dalam ucaptama mengenai “Sustainable Trade and Responsible Business Practice in A New Global Area” pada Forum Antarabangsa Minyak Sawit Lestari.

Fadillah, yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata media barat perlu memberi perhatian kepada isu ini.

“Mari asingkan fakta daripada fiksyen dan berdepan dengan cabaran sebenar,” katanya pada forum itu anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific, yang menyaksikan penyertaan antara lainnya kumpulan pelobi Parlimen, masyarakat awam dan pertubuhan bukan kerajaan.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Hazland Abang Hipni dan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Mad Zaidi Mohd Karli.

“Ia bukanlah suatu keburukan alam sekitar sepertimana yang dilabelkan. Sebaliknya, realitinya adalah bukti jelas kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) – amalan yang mesra (alam). Tidak seperti tanaman lain, pokok sawit bertindak sebagai penyelamat dengan menyerap karbon dioksida dan mengubah ladang-ladang kita sebagai sinki karbon.

“Ini bukan sekadar kata-kata saya (sebaliknya) Institut Penyelidikan Produk Hutan dan Perhutanan Jepun turut mengesahkan bahawa kelapa sawit mengatasi hutan semula jadi dari segi keupayaannya menyerap sehingga empat kali lebih banyak karbon dioksida. Oleh itu, apabila berbicara mengenai penjujukan karbon, minyak sawit jauh lebih tinggi daripada soya, minyak sesawi dan bunga matahari,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Malaysia kekal tegas dalam komitmennya terhadap usaha kelestarian dan pemuliharaan.

“Kita tidak pernah bersikap lepas tangan dalam melindungi soal biodiversiti. Daripada Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Taman Negara Pulau Penyu, Taman Negara Sipadan, Lembah Danum — (kewujudan) projek-projek ini membuktikan lagi dedikasi kita dalam melindungi warisan semula jadi.

“Malah, kita bukannya bercakap kosong sebaliknya memang mengambil tindakan konkrit. Kementerian saya misalnya turut menerajui usaha pembentukan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF),” katanya.

Fadillah menyifatkan yayasan tersebut jelas sebagai bukti sokongan padu Malaysia terhadap inisiatif pemuliharaan dalam industri minyak sawit.

“Komitmen kita terhadap alam sekitar ini tiada sempadan. MPOGCF ini bukan sekadar menumpukan aspek orang utan sebaliknya turut menjangkau bagi melindungi pelbagai spesies hidupan liar termasuk gajah pigmi yang comel di Sabah. Secara bersama, kita sebenarnya sedang melakukan realiti perubahan yang sebenar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.