KPDN Perak sita 156kg gula disorok peniaga

KPDN Perak sita 156kg gula disorok peniaga

Susulan aduan orang ramai sukar membeli gula di kedai itu, penguat kuasa KPDN Perak menyamar dan cuba membeli gula di premis terbabit.

Penguat kuasa menemui 156kg gula pasir putih dalam premis, dengan nilai rampasan dianggarkan RM446.
IPOH:
Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 156kg gula pasir putih bertapis kasar yang dipercayai cuba disorok peniaga, selepas menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Kaya, Taiping semalam.

Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, susulan aduan orang ramai sukar membeli gula di kedai itu, penguat kuasa menyamar dan cuba membeli gula di premis terbabit.

Bagaimanapun, mereka diberitahu gula habis dijual.

Kira-kira 11 pagi, katanya, sepasukan penguat kuasa beruniform memeriksa premis itu dan meminta peniaga mengisytiharkan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Hasilnya, 156kg gula pasir putih bertapis kasar yang tidak diisytiharkan ditemui dalam premis berkenaan.

“Semua barang kawalan gula berjumlah 156kg itu disita untuk siasatan lanjut, dengan nilai rampasan dianggarkan RM446.”

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan menyorok barang kawalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.