Jelas perubahan prosedur semasa mesyuarat MBPJ, C4 gesa datuk bandar

Jelas perubahan prosedur semasa mesyuarat MBPJ, C4 gesa datuk bandar

C4 khuatir dengan respons datuk bandar terhadap kebimbangan 19 ahli majlis bandaran mengenai proses kelulusan bagi pembangunan sebidang tanah di Lorong Sultan.

Pada Selasa, mesyuarat MBPJ dikatakan tamat dengan mengejut selepas 19 daripada 24 ahli majlis meninggalkan mesyuarat ekoran pertikaian mengenai kuasa membuat keputusan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa Datuk Bandar Petaling Jaya Azhan Amir agar menjelaskan perubahan dalam hal prosedur semasa mesyuarat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) baru-baru ini.

C4 berkata, ia khuatir dengan respons datuk bandar terhadap kebimbangan 19 ahli majlis bandaran mengenai proses kelulusan bagi sebidang tanah di Lorong Sultan yang dijadualkan untuk pembangunan.

“Ini bukan sahaja contoh jelas menyekat perbezaan pendapat, tetapi juga membingungkan bagaimana Azhan menegaskan bahawa keputusan untuk meluluskan telah dibuat apabila majoriti ahli mesyuarat pusat sehenti (OSC) tidak bersetuju dengan keputusan itu,” katanya dalam kenyataan.

C4 berkata, ia juga bimbang dengan penegasan Azhan bahawa peranan ahli majlis hanyalah untuk memberikan input dari perspektif sosial dan politik.

Katanya, ini bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang menyatakan bahawa ahli majlis dilantik berdasarkan pengalaman luas mereka dalam hal ehwal kerajaan tempatan.

“(Langkah) mengecualikan sepenuhnya 19 ahli majlis ini daripada proses membuat keputusan, dan memutuskan secara sepihak tindakan yang ditentang keras oleh mereka, mempersoalkan dengan serius komitmen MBPJ terhadap tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

C4 menggesa datuk bandar dan MBPJ menjelaskan alasan mereka membuat perubahan mendadak dalam prosedur dan memastikan ketelusan penuh berhubung proses membuat keputusan.

Pada Selasa, ahli majlis bandaran Terence Tan berkata, mesyuarat MBPJ berakhir dengan mengejut selepas 19 daripada 24 ahli majlis meninggalkan mesyuarat ekoran pertikaian mengenai kuasa membuat keputusan.

Sebagai respons, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, tindakan ahli majlis meninggalkan mesyuarat berpunca daripada salah faham.

Bagaimanapun, C4 menggesa Amirudin agar menjelaskan mengapa beliau menyifatkan situasi itu sebagai salah faham. Menteri besar “meremehkan situasi itu”, dakwa C4.

“Undang-undang mesti diguna pakai secara sama rata bagi semua, dan kegagalan mematuhi prinsip asas ini berisiko mencemarkan imej MBPJ dan kerajaan negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.