Jangan ‘tembak kaki sendiri’, Asyraf beritahu Puad

Jangan ‘tembak kaki sendiri’, Asyraf beritahu Puad

Teguran setiausaha agung Umno itu susulan tindakan Puad yang mengkritik Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Puad Zarkashi (kanan) untuk berhenti menyerang pemimpin parti lain dalam kerajaan perpaduan.
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi supaya tidak menyerang parti atau pemimpin lain dalam kerajaan perpaduan.

Gesaan itu dibuat selepas Puad mengkritik prestasi Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi dan mempersoalkan kurangnya dasar untuk memulihkan semula ekonomi.

Dalam satu sidang media, Asyraf berkata Umno terikat dengan tanggungjawab secara kolektif kerana parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan.

“Ini antara isu yang perlu kita kawal dan uruskan. Tak ada gunanya jika kita terus menyerang antara satu sama lain, ‘tembak kaki sendiri’ untuk menggembirakan masyarakat tertentu.

“Apa yang paling penting adalah fokus supaya negara terus maju dan memastikan kebajikan rakyat terjaga. Kita tak bergantung kepada mana-mana individu secara persendirian, justeru semua pihak perlu berhenti daripada menuding jadi antara satu sama lain,” katanya.

Semalam, Rafizi memberitahu Puad bahawa mereka adalah rakan dalam kerajaan perpaduan dan walaupun kritikan adalah “sebahagian tugas” sebagai menteri, ia mungkin mengganggu penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) jika Puad terus menyerangnya.

Rafizi juga mengingatkan Puad bahawa Umno juga akan bergantung kepada undi PH pada PRN akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.