
Kelmarin, mesyuarat MBPJ berakhir mengejut susulan tindakan 19 daripada 24 ahli majlis keluar kerana percanggahan pendapat melibatkan prosedur projek pembangunan di Lorong Sultan.
“Kami sudah bincang perkara ini semalam dalam exco (mesyuarat) negeri kami dan kemudian hari ini, exco majlis tempatan Ng Sze Han bertemu dengan ahli majlis dan datuk bandar dan saya fikir ia adalah salah faham atau mungkin kita perlu memperbaiki komunikasi,” katanya menurut Malaysiakini.
Terdahulu, Ahli Majlis Terence Tan, berkata tindakan itu berlaku ketika mesyuarat pusat setempat (OSC) dan perkara prosedur.
OSC dalam proses memberikan kelulusan bagi plot tanah di Lorong Sultan, untuk dibangunkan.
Tan berkata, OSC menolak permohonan pemaju tahun lalu kerana pihak syarikat memohon plot tanah lebih besar, berbanding keluasan dibenarkan. Pemaju kemudian merayu keputusan itu.
Katanya, pemaju menghantar satu lagi permohonan kepada OSC untuk dipertimbang, seiring rayuan dikemukakan.
Bagaimanapun, tiga daripada lima Ahli Majlis OSC mahu pemaju menarik semula rayuan terlebih dulu, sebelum permohonan baharu boleh dipertimbangkan.
Menerusi kenyataan 19 ahli majlis pula berkata, mereka keluar kerana percanggahan pandangan dalam mesyuarat OSC tidak dihormati dan tidak mahu pihak majlis melakukan apa jua kesilapan bertentangan prinsip undang-undang.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai proses kelulusan pembangunan, Amirudin berkata, semua keputusan lembaga rayuan jawatankuasa perancang negeri adalah muktamad.
“Malah, menteri besar atau mahkamah tidak boleh menentang sebarang keputusan lembaga rayuan. Itu pemahaman pertama,” katanya.