Pemuda 20 tahun didakwa bunuh kekasih hamil

Pemuda 20 tahun didakwa bunuh kekasih hamil

Muhammad Fakrul Aiman Sajali didakwa membunuh kekasihnya berusia 21 tahun antara 8.30 malam 22 Mei lalu hingga 8 pagi hari seterusnya.

Bekas penuntut IPT, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar hari ini kerana membunuh kekasihnya.
PETALING JAYA:
Seorang pemuda berusia 20 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Besar hari ini atas tuduhan membunuh kekasihnya minggu lepas.

Harian Metro melaporkan, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, yang juga bekas penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), mengangguk faham ketika tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh kekasihnya yang berusia 21 tahun di Jalan Benteng Laut, Jalan Sungai Limau, antara 8.30 malam 22 Mei lepas hingga 8 pagi hari seterusnya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron dan Muhammad Afiq Qiwamuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Kashim dan Muhammad Nor Tamrin.

Terdahulu, peguam memohon agar tuduhan yang dihadapi anak guamnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Muhammad Nor berkata, ini bertujuan untuk pihak pendakwaan mengemukakan dokumen berkaitan tuduhan pada hari ini.

Media sebelum ini melaporkan motif pembunuhan wanita terbabit dipercayai bagi menyembunyikan kehamilannya susulan hubungan sulit dengan tertuduh.

Tertuduh dan mangsa dipercayai sudah menjalin hubungan selama setahun.

Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian disebabkan luka tikaman di dada pada badan yang melecur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.