Pecah amanah RM1 juta, bekas eksekutif akaun firma guaman didakwa

Pecah amanah RM1 juta, bekas eksekutif akaun firma guaman didakwa

Tertuduh, Abu Zarin Haron, 46, mengaku tidak bersalah mengeluarkan sembilan cek bernilai RM935,630.40 tanpa pengetahuan firma.

Bekas eksekutif akaun firma guaman didakwa pecah amanah akaun pelanggan dengan mengeluarkan hampir RM1 juta untuk kegunaan diri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas eksekutif akaun firma guaman didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan atas sembilan pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian hampir RM1 juta, tiga tahun lalu.

Abu Zarin Haron, 46, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Anita Harun, Kamarudin Kamsun dan Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, Abu Zarin didakwa sebagai eksekutif akaun yang diamanahkan penguasaan ke atas akaun pelanggan firma, melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan sembilan cek bernilai keseluruhan RM935,630.40 tanpa pengetahuan firma bagi kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tetuan Zainal Abidin & Co di Plaza Permata Sentul antara 4 Sept 2020 dan 14 Okt 2021 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan sehingga kes selesai dan menetapkan 7 Julai untuk sebutan semula kesemua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif dan Akmalzatul Mohamed Nawi, manakala tertuduh diwakili peguam Kassim Ludin dan Ahmad Fadhli Salleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.