
Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya menerima aduan berkaitan pergaduhan antara dua kumpulan melibatkan 13 orang lelaki tempatan pada 10.00 malam, hari kejadian.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati punca rusuhan adalah tidak puas hati dengan satu kumpulan yang membuat bunyi bising dengan memulas pendikit motosikal.
“Satu kumpulan suspek lain telah menegur dan telah berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan. Tiga orang suspek mengalami kecederaan ringan dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan.
Farouk berkata, semua suspek berusia lingkungan 15 hingga 26 tahun ditahan pada Selasa sekitar 12.05 tengah hari hingga 5.15 petang di pekarangan IPD Ampang Jaya.
“Salah seorang tangkapan merupakan seorang pelajar sekolah menengah di Ampang. Manakala tangkapan lain bekerja dalam penghantar makanan, pembantu jualan, dan penganggur.
“Ujian saringan awal air kencing dapati kesemua suspek negatif, tiga orang suspek berumur 20,21 dan 26 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah,” tambahnya.
Tambahnya, mereka direman empat hari sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh menggunakan senjata di tempat awam.