Wanita maut digilis lori dipandu ‘mat gian’

Wanita maut digilis lori dipandu ‘mat gian’

Difahamkan ketika kejadian, penunggang motosikal wanita berusia 56 tahun itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya.

Penunggang motosikal wanita maut digilis lori dipandu lelaki positif dadah dalam kejadian di Jalan Sungai Lalang , Semenyih, semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penunggang motosikal wanita maut selepas digilis lori dipandu lelaki positif dadah dalam kejadian di Jalan Sungai Lalang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Semenyih semalam.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang membabitkan sebuah motosikal dan lori pada 3.26 petang.

Katanya, ketika kejadian, difahamkan penunggang motosikal wanita berusia 56 tahun itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal itu cuba memotong di sebelah kiri lori terbabit sebelum bergesel dengan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.

Zaid berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit jatuh di atas jalan dan digilis tayar belakang lori terbabit.

“Kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal terbabit parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu lori terbabit pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap pemandu lori itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Zaid berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.