
Menteri besar Kedah itu berkata kajian sejarah dan akademik menyokong dakwaan beliau bahawa Kedah memiliki Pulau Pinang, dan generasi sekarang perlu membetulkan “sejarah yang dijulingkan” dan meminda Perlembagaan.
“Jika saban tahun kandungan Perlembagaan dipinda di Parlimen mengikut proses dan prosedurnya, berdasarkan keperluan dan kehendak semasa, mengapa pula penemuan kukuh hendak diketepikan hanya kerana isu kandungan Perlembagaan?” katanya kepada FMT.
“Yang tak boleh pinda atas dunia ini hanya Al-Quran dan hadis.”
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengkritik Sanusi kerana mengulangi dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.
Anwar meminta pemimpin PAS itu memahami Perlembagaan yang menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada negeri di Semenanjung.
Ditanya bagaimana mana dalam Perlembagaan yang perlu dipinda Sanusi berkata apa-apa kandungan yang boleh dipinda berkenaan anggota Persekutuan.
“Kalau ada yang tak boleh pinda akan dinyatakan dengan jelas. Ada juga bab yang boleh pinda dengan kebenaran Majlis Raja-raja.
“Ramkarpal Singh atau sesiapa saja boleh cakap apa sahaja. Bebas beri pandangan, boleh sandar pada apa saja, selama tak salah di sisi undang-undang…begitu juga saya,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Ramkarpal Singh berkata status negeri berdaulat termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan.
Ramkarpal berkata Perkara 71(1) Perlembagaan, yang dibaca bersama Jadual ke-8 Perlembagaan, menyatakan setiap negeri mempunyai undang-undang tubuh yang memperuntukkan kerajaan tersendiri, termasuk bagi Pulau Pinang.
Sanusi berkata beliau tidak boleh terima dakwaan yang mempersoalkan kefahamannya tentang Perlembagaan atau dakwaan dia mempertikai Perlembagaan, mengganggu kedaulatan Pulau Pinang, dan mengurus hati rakyat negeri itu.
“Saya akur jika penyelesaian terakhir ialah di mahkamah, bukannya cubaan menutup mulut saya atau sesiapa sahaja yang selari dengan saya,” katanya.
Menjawab kenyataan Anwar bahawa Raja-raja Melayu memperkenan perjanjian Perlembagaan dalam isu tersebut, Sanusi meminta Anwar mengkaji sebab bayaran bagi Pulau Pinang dinaikkan daripada RM10,000 setahun kepada RM10,010,000 setahun pada 2018.
Sanusi pada Isnin mendakwa Pulau Pinang milik Kedah dan sempadan Kedah sehingga ke Balik Pulau.