
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PJD Link Amrish Hari Narayanan berkata, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya, termasuk bagi penduduk di kawasan perumahan kos rendah di Taman Medan dan Kayu Ara.
“Hampir setiap hari jalan-jalan perumahan di kawasan-kawasan ini sesak teruk pada waktu puncak, kerana pemandu menggunakan jalan-jalan itu untuk bergerak antara utara dan selatan PJ,” kata Amrish kepada FMT.
Akibatnya, ramai pekerja yang menetap di situ itu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di LDP dan Sprint selama berjam-jam semata-mata untuk ke tempat kerja atau pulang ke rumah.
“PJD Link akan menyediakan laluan alternatif ke LDP dan penduduk boleh ke utara dan selatan PJ dengan mudah,” katanya.
Pada masa sama, lebuh raya penyuraian ini juga akan memberi manfaat kepada perniagaan-perniagaan kecil kerana ia membolehkan pengunjung dari luar Taman Medan dan Kayu Ara ke kawasan-kawasan itu.
Amrish juga berkata, PJD Link akan menyediakan kesalinghubungan lebih baik dan kemudahan akses kepada golongan B40 melalui rangkaian pengangkutan awam.
Ini termasuk lima laluan tren utama, iaitu LRT3, MRT1, LRT Kelana Jaya, LRT Sri Petaling dan KTM, serta enam lebuh raya – NKVE, LDP, NPE, Kesas, serta Lebuh Raya Persekutuan dan Bukit Jalil.
“Cadangan laluan bas yang menghubungkan laluan tren utama akan memberikan penduduk B40 alternatif yang lebih pantas pada harga berpatutan untuk sampai ke tempat kerja dengan lebih cepat,” kata Amrish.
Kesalinghubungan yang lebih luas akan memberi komuniti B40 lebih akses kepada peluang pekerjaan di dalam dan luar Petaling Jaya, katanya.
Ini yang berlaku dengan LDP, katanya, yang menyumbang kepada pembangunan pesat Damansara, Puchong and Serdang.
Menurut laporan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC), PJD Link akan menghasilkan output ekonomi sebanyak RM31 bilion dengan 12,000 pekerjaan setahun semasa tempoh pembinaan.
“Perniagaan berdekatan seperti restoran, penjaja, peruncit, dan penawar perkhidmatan juga akan mendapat manfaat daripada kesan limpahan ekonomi lebuh raya itu,” katanya.