
Tarikh itu disahkan peguam SIS Forum, A Surendra Ananth dan peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ketika dihubungi Bernama.
Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan dikemukakan kumpulan hak wanita itu dan seorang pengasas bersamanya, Zainah Mahfoozah Anwar untuk membatalkan fatwa itu.
Mahkamah Rayuan memutuskan fatwa disediakan Jawatankuasa Fatwa Selangor bukanlah keputusan muktamad, oleh itu ia tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.
SIS Forum dan Zainah merayu kepada Mahkamah Rayuan, selepas gagal membatalkan fatwa itu di Mahkamah Tinggi. Permohonan semakan kehakiman mereka ditolak Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.
Dalam kes sivil, pihak litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Fatwa itu, yang diwartakan kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas, selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menapis laman sesawang sosial bercanggah ajaran Islam serta hukum syarak.
Dalam notis usul memohon kebenaran itu, kumpulan itu mengemukakan 10 persoalan undang-undang untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Antara persoalannya sama ada fatwa, yang pernah dikeluarkan dalam Warta di bawah Seksyen 48(6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, satu bentuk undang-undang subsidiari dan/atau perundangan diwakilkan.